Hari ini ibu dan ayahku pergi melawat datuk saudara yang sakit di kampung. Aku disuruh tinggal di rumah dan menjaga adikku yang berusia enam tahun. Kami bermain permainan video bersama-sama.
Tidak lama kemudian adikku mula berasa bosan. Dia mengajak aku bermain di luar rumah. Kami mengayuh basikal di halaman rumah. Setelah lama bermain, aku berasa penat lalu mengajak adikku masuk ke rumah. Namun, dia enggan kerana masih belum puas bermain. Aku menjadi marah lalu meninggalkannya seorang diri di luar rumah.
Aku terus masuk ke bilikku. Aku ingin menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru. Tiba-tiba aku terdengar bunyi dentuman yang amat kuat. Aku segera berlari ke luar rumah untuk melihat apa yang berlaku.
Alangkah terkejutnya aku apabila melihat adikku telah dilanggar sebuah kereta. Kepala dan kakinya berlumuran darah. Adikku tidak sedarkan diri. Nafasnya turun naik. Jiranku segera membawa adikku ke hospital.
Sampai di hospital, adikku dikejarkan di wad kecemasan. Aku merasa amat takut di luar wad. Jiranku telah menghubungi ibu dan bapaku. Tidak lama kemudian mereka pun tiba. Aku terus berlari memeluk mereka sambil memohon maaf atas kecuaianku.
Adikku dibawa keluar wad kecemasan dalam keadaan kepala dan kakinya berbalut. Keadaan adikku kurang stabil dan dia dihantar pula ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU). Aku berdoa semoga adikku selamat dan berjanji akan menjaga adikku dengan baik pada masa hadapan.
0 komen murid pintar:
Post a Comment