Saturday, January 22, 2011

Punca-punca kemalangan di rumah

     Rumah merupakan tempat tinggal kita dan perlu dijaga dengan baik. Rumah yang kemas dan teratur menjadikan kita lebih selesa. Namun begitu, di rumah juga boleh berlaku kemalangan.

     Kemalangan yang sering berlaku di rumah adalah tersiram air atau minyak panas. Kedua-dua situasi ini menjadikan mangsa mengalami kecacatan dan trauma. ibu bapa perlu memastikan peralatan memasak berada di tempat yang selamat. Kecuaian mereka menyebabkan anak-anak menjadi mangsa.

     Pisau, gunting dan peralatan yang tajam juga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.  Oleh sebab itu, benda-benda itu perlulah disimpan di dalam laci atau di tempat yang selamat. Mancis pula boleh menyebabkan berlakunya kebakaran. Justeru, ibubapa perlu menasihati anak-anak agar tidak bermain mancis sesuka hati.

     Ubat-ubatan penting untuk menyembuhkan sesuatu jenis penyakit. Namun begitu, ubat yang dimakan tanpa pengawasan ibubapa boleh mendatangkan bahaya. Apatah lagi, jika dimakan dalam kandungan yang melebihi sukatan yang dibenarkan. Oleh sebab itu, ibubapa perlu memastikan ubat-ubatan disimpan dalam tempat khas seperti di dalam peti ubat.

     Barang permainan juga adalah salah satu punca berlakunya kemalangan di rumah. Pastikan barang permainan yang dibelikan untuk anak bersesuaian dengan umur mereka. Barang permainan yang dibiarkan bersepah-sepah boleh menyebabkan anak-anak tercedera apabila terpijak. Latihlah anak-anak menyimpan barang permaian selapas digunakan.

     Kesimpulannya, terdapat beberapa punca berlakunya kemalangan di rumah. Ibubapa perlu mengambil berat tentang keselamatan di rumah. Oleh sebab itu perlakuan anak-anak di rumah mesti diawasi supaya kemalangan tidak berlaku.



No comments:

Post a Comment